Pan Borneo Sarawak siap akhir tahun, Bung kecewa Sabah ‘masih bergelut’

Pan Borneo Sarawak siap akhir tahun, Bung kecewa Sabah ‘masih bergelut’

Ahli Parlimen Kinabatangan berkata projek Pan Borneo Sabah masih bergelut dengan peruntukan kewangan berbanding Sarawak yang akan siap akhir tahun ini.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengandungi 35 pakej kerja dalam Fasa 1, dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1a sudah dimulakan manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1b belum bermula. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Sabah kecewa status pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo negeri itu terlalu perlahan dan dilaporkan hanya akan siap pada 2026 berbanding Sarawak akhir tahun ini.

Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, kerajaan persekutuan seharusnya menumpukan pembangunan infrastruktur di Sabah yang berpotensi dibangunkan dengan ekonomi yang baik, bagaimanapun ia gagal dilakukan.

Beliau berkata, akibat kurangnya perhatian Putrajaya, rakyat di negeri itu masih bergelut dengan kemunduran dan kadar kemiskinan tinggi.

“Saya sedih dan kecewa dari dulu saya berjuang supaya Pan Borneo dapat direalisasikan…di Sarawak hujung tahun ini 100% akan siap tetapi di Sabah amat malang sekali, Fasa 1 sahaja masih bergelut dengan peruntukan kewangan.

“Sabah ini sepatutnya sebuah negeri yang berpotensi untuk dibangunkan dengan ekonomi yang baik tetapi sehingga hari ini Sabah negeri kedua termiskin. Ini masalah yang dihadapi oleh kita,” katanya di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan proses tender bagi 19 pakej kerja Fasa 1b untuk lebuh raya berkenaan akan diselesaikan bulan depan.

Pakej kerja berkenaan membabitkan jajaran sepanjang 366km dengan kos RM15.7 bilion.

Secara keseluruhan, Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengandungi 35 pakej kerja dalam Fasa 1, dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1a sudah dimulakan manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1b belum bermula.

Panjang jajaran dalam semua pakej kerja itu dianggarkan 706km.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.