Majoriti kesalahan langgar Akta SKMM libat kandungan lucah

Majoriti kesalahan langgar Akta SKMM libat kandungan lucah

Kes lain melibatkan kandungan palsu, jelik dan mengancam, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Sejumlah 34% kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melibatkan kandungan lucah, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
PETALING JAYA:
Sejumlah 34% atau 290 kes yang disiasat di bawah kesalahan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) melibatkan kandungan lucah, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, sejumlah 277 kes atau 32% daripada keseluruhan 866 aduan diterima sejak 1 Jan 2018 hingga 30 Sept lalu pula membabitkan kandungan palsu.

“Manakala 254 kes (29%) membabitkan kandungan jelik, 35 kes (4%) membabitkan kandungan mengancam dan 10 kes (1%) sahaja membabitkan kandungan sumbang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Young Shefura Othman (PH-Bentong) meminta menteri menyatakan bilangan orang yang disiasat dan ditangkap, kes yang disenaraikan “tiada tindakan lanjut” (NFA), kes yang dituduh di mahkamah, serta kes tertuduh didapati bersalah serta jenis kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia bagi tahun ini.

Fahmi berkata sebanyak 65 kes (8%) telah didakwa di mahkamah dengan 56 kes selesai dan dijatuhkan hukuman denda dengan nilai keseluruhan berjumlah RM413,850 dan sebanyak sembilan kes lagi sedang dalam proses perbicaraan.

“Sebanyak 11 kes (1%) pula telah ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM 37,000; 62 kes (7%) dikeluarkan Notis Amaran; 68 kes (8%) masih dalam siasatan; dan 660 kes (76%) kes berstatus tiada tindakan lanjut atau NFA,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.