Banteras sorok gula, KPDN buat 15,208 pemeriksaan dalam Op Manis

Banteras sorok gula, KPDN buat 15,208 pemeriksaan dalam Op Manis

Ketua Setiausaha KPDN Sayuthi Bakar berkata pihaknya juga menerima 433 aduan dan merekodkan 46 kes melibatkan pelbagai kesalahan.

Sejumlah 15,208 pemeriksaan melalui Op Manis telah dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup sejak 3 Mei lepas hingga semalam, kata Ketua Setiausaha kementerian Sayuthi Bakar. (Gambar KPDN)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan sejumlah 15,208 pemeriksaan melalui Op Manis di seluruh negara bagi membanteras aktiviti menyorok gula sejak 3 Mei lepas hingga semalam.

Ketua Setiausaha KPDN, Sayuthi Bakar, berkata dalam tempoh itu juga, pihaknya menerima 433 aduan dan merekodkan 46 kes melibatkan pelbagai kesalahan termasuk menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan serta memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan gula.

“KPDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati terlibat di dalam aktiviti penyelewengan bekalan gula termasuk menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat, aktiviti menyorok bekalan gula serta menjual melebihi harga kawalan yang ditetapkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Op Manis 2.0 yang dilanjutkan hingga 31 Dis selain memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelakkan pembelian panik dalam kalangan pengguna yang boleh menyebabkan gangguan ke atas bekalan di pasaran.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga atau aktiviti penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan ke aplikasi WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel kepada [email protected] atau Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.