Anwar kunci mulut isu pengganti Salahuddin

Anwar kunci mulut isu pengganti Salahuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini meminta cadangan bagi mengisi kekosongan jawatan menteri, susulan kematian Salahuddin Ayub. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengunci mulut berhubung calon yang akan menggalas portfolio perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, selepas kematian Menteri Salahuddin Ayub.

Beliau mendiamkan diri apabila ditanya pemberita apakah beliau sudah ada calon untuk memimpin kementerian itu.

Ditemui pemberita di suatu simposium di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Anwar berkata jawatan menteri akan diisi “bila ada calon”.

Sebelum ini, Anwar meminta sebarang cadangan diserahkan kepada beliau bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan, yang kini dipangku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Parti Salahuddin, Amanah menyerahkan kepada Presiden Mohamad Sabu untuk berbincang mengenai pengganti menteri.

Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai lalu. Beliau merupakan Ahli Parlimen Pulai dan Adun Simpang Jeram.

Mengulas isu lain, Anwar berkata pasukan pengaman negara di Lubnan akan dibawa pulang sekiranya keadaan tidak lagi selamat, susulan ketegangan yang meruncing di rantau itu.

“Jika keadaan keselamatan dapat terjamin kita teruskan, dan jika tidak kita akan bawa pulang,” katanya.

Ketegangan di bahagian Asia Barat itu memuncak sejak serangan militan Hamas terhadap Israel pada 7 Okt lepas, yang membawa kepada kempen pengeboman ke atas Semenanjung Gaza.

Selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel menyaksikan beberapa kejadian berbalas serangan antara Israel dan militan Hezbollah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.