Ambil iktibar MYAirline, Sabah Air Aviation mantapkan pelan

Ambil iktibar MYAirline, Sabah Air Aviation mantapkan pelan

Sabah Air Aviation Sdn Bhd tidak dapat memberikan garis masa penubuhan syarikat penerbangan Sabah yang sebelum ini disasar pada tahun depan.

Mengikut laporan media sebelum ini, syarikat penerbangan milik Sabah dijangka ditubuhkan dan beroperasi menjelang tahun depan.
PETALING JAYA:
Sabah Air Aviation Sdn Bhd (SAASB) mahu menyediakan pelan perniagaan kukuh untuk melancarkan operasi syarikat penerbangannya nanti, mengambil iktibar penggantungan operasi MYAirline.

Pengerusinya Kenny Chua berkata pihaknya tidak mahu mengambil mudah mengambil kira risiko keadaan ekonomi selain isu pertukaran nilai mata wang asing yang menjejaskan operasi beberapa syarikat sebelum ini.

Sambil menegaskan pelan perniagaan perlu dibuat sebaiknya, Chua berkata beliau tidak dapat memberikan garis masa penubuhan syarikat penerbangan Sabah yang sebelum ini disasar pada tahun depan.

“Mungkin lima tahun akan datang atau kita pun tak tahu (bila) sebab itu rancangan jangka panjang.

Kenny Chua.

“Apa yang berlaku pada MYAirline disebabkan masalah kewangan. Itu sebab kenapa kita perlu ada pelan perniagaan yang dirancang sebaik-baiknya,” katanya kepada FMT.

Mengikut laporan media sebelum ini, syarikat penerbangan milik Sabah dijangka ditubuhkan dan beroperasi menjelang tahun depan.

Syarikat penerbangan baharu itu akan mengikut model perniagaan kos rendah untuk bersaing dengan pengendali sedia ada. Laluan sangat menguntungkan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu kini dikendalikan Malaysia Airlines, Firefly dan AirAsia.

Minggu lalu, FMT melaporkan gesaan ahli ekonomi kerajaan Sabah dan Sarawak supaya mempertimbangkan aspek daya maju kewangan dalam merealisasikan hasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri bagi mengelakkan sejarah penggantungan operasi MYAirline berulang.

Pada 12 Okt lalu, MYAirline menggantung operasinya serta-merta akibat “cabaran kewangan yang signifikan”.

Tindakan itu menjejaskan kira-kira 125,000 penumpang dan mengakibatkan kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket sehingga Mac tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.