Ada kaji kesan rasionalisasi subsidi ke atas rakyat, ekonomi? soal Muhyiddin

Ada kaji kesan rasionalisasi subsidi ke atas rakyat, ekonomi? soal Muhyiddin

Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin meminta kerajaan membentangkan dapatan kajian yang menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidinya.

Muhyiddin Yassin mahu kerajaan menjelaskan mekanisme rasionalisasi subsidi dan bagaimana ia hendak dilaksanakan.
KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mempersoalkan adakah kerajaan telah membuat kajian menyeluruh untuk menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidinya ke atas rakyat dan ekonomi.

Beliau yang juga pengerusi Perikatan Nasional bersetuju sekiranya subsidi dirasionalkan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, namun mesti dipastikan ia tidak menambah beban rakyat.

“Apakah dapatan kajian tersebut,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Muhyiddin menggesa kerajaan memperkenalkan langkah untuk menampan impak rasionalisasi subsidi ke atas rakyat, terutama subsidi petrol.

Beliau juga mendesak kaedah pemantauan dan penilaian secara lebih menyeluruh bagi menilai keberkesanan rasionalisasi itu, di samping memastikan harga barangan tidak meningkat secara mendadak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2024 akan mengimbangkan antara keperluan merasionalisasikan subsidi dengan meringankan beban golongan miskin.

Beliau melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan dijangka membelanjakan lebih RM81 bilion untuk subsidi tahun ini, yang antara lain disebabkan kenaikan kos mengimport bahan makanan.

Sementara itu, Muhyiddin mahu kerajaan menjelaskan mekanisme rasionalisasi subsidi, dan bagaimana ia hendak dilaksanakan.

Mengambil contoh subsidi petrol, wakil rakyat itu menyoal, “bagaimana kerajaan hendak menentukan golongan pendapatan manakah yang masih dapat menikmati subsidi dan golongan mana yang tidak lagi menikmatinya?”

“Adakah kerajaan akan menggunakan kategori kumpulan pendapatan B40, M40, dan T20 sebagai asas penentuan atau terdapat formula baharu.”

Mengingatkan golongan M40 di bandar besar seperti di Kuala Lumpur turut menanggung beban kos sara hidup yang berat, Muhyiddin ingin tahu bila hasil penjimatan subsidi daripada langkah rasionalisasi itu akan diagihkan kepada rakyat.

“Dalam keadaan mekanisme rasionalisasi subsidi masih belum diputuskan, ia tentunya akan mengambil masa yang agak lama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.