18 ketulan mampat dadah dalam najis, banduan dipenjara 28 bulan

18 ketulan mampat dadah dalam najis, banduan dipenjara 28 bulan

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana cuba menyeludup dadah ke penjara.

Majistret menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan lima bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta penjara 28 bulan dan tiga sebatan bagi pertuduhan ketiga. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang banduan dijatuhkan hukuman penjara 28 bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tiga tuduhan memiliki dadah di Penjara Sungai Udang pada Jun lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shah Rizman Razali, 30, selepas menerima pengakuan bersalahnya dan meneliti fakta, rayuan serta hujah pendakwaan.

Harian Metro melaporkan Khairunnisak bertanya tertuduh “Kamu makan dadah ini? Dadah dijumpai dalam najis kamu” dan tertuduh menjawab “Ya”.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didapati memiliki 1.25g heroin dan 0.75g monoacetylmorphines di tandas Base Unit Kawalan Pencegahan (UKP) Sungai Udang pada 5.25 petang 22 Jun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, dia didakwa memiliki 29.01g kanabis pada tarikh, masa dan tempat sama.

Mengikut fakta kes, laporan dibuat sarjan penjara berhubung penemuan barang larangan disyaki dadah dan hasil imbasan badan tertuduh oleh wadar bertugas didapati mencurigakan.

Tertuduh kemudian dibawa ke Base UKP bagi proses membuang air besar dan mengeluarkan 18 ketulan mampat, iaitu 13 ketulan itu ialah serbuk putih disyaki heroin dengan anggaran berat 97.96g dan lima ketulan disyaki dadah “mushrooms” dianggarkan 38.44g.

Dadah itu dihantar ke Jabatan Kimia Bukit Katil yang mengesahkan 13 ketulan mampat berisi 1.25g heroin dan 0.75g monoacetylmorphines serta lima ketulan berisi 29.01g kanabis.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana cuba menyeludup dadah ke penjara, tetapi peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dan berjalan serentak bagi semua pertuduhan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan lima bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta penjara 28 bulan dan tiga sebatan bagi pertuduhan ketiga. Semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 22 Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.