Jangan tolak pelajar miskin, tak mampu bayar yuran, PM beritahu universiti awam

Jangan tolak pelajar miskin, tak mampu bayar yuran, PM beritahu universiti awam

Selain itu, kata Anwar Ibrahim, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak boleh disekat mendaftar subjek setiap semester.

Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan terdapat beberapa pelajar terpaksa menolak tawaran universiti kerana tidak mampu membayar yuran. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan kepada universiti awam di negara ini agar tidak menolak kemasukan pelajar miskin atau tidak mampu membayar yuran.

Memaklumkan perkara berkenaan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, arahan sedemikian adalah untuk memastikan para pelajar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Saya bagi arahan, tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dan kementerian atau jabatan harus selesaikan,” katanya.

“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita, di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti,” katanya.

Anwar berkata, beliau dimaklumkan terdapat pelajar dari Ampang dan Tambun menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.

Tambahnya, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat mendaftar mana-mana subjek pada setiap semester.

Bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek, katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, Anwar mengumumkan bermula Januari depan, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan pada RM1,500, iaitu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.