
Sebaliknya, menurut Zahid, analisis forensik mendapati kejadian hujan faktor pencetus utama, yang menyebabkan kegagalan cerun.
JKKTR yang ditubuhkan bagi menjalankan kerja penyiasatan diketuai Cawangan Kejuteraan Cerun Jabatan Kerja Raya dan disertai Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta badan-badan profesional.
“Secara ringkasnya, hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan (rainfall event) merupakan faktor pencetus utama akibat daripada kombinasi jumlah hujan major (major rainfall) kumulatif bagi tempoh 5 hari dan hujan anteseden (antecedent rainfall) kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm.
“Hujan yang lebat ini menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakkan harta benda dan kehilangan nyawa.
“Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini,” katanya, dalam kenyataan.
Zahid berkata laporan penuh JKKTR itu boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma mulai 10 pagi esok.
Seramai 31 orang kehilangan nyawa termasuk 13 kanak-kanak, dan 61 diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, berdekatan Batang Kali pada 16 Dis.
Pada Disember tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor berkata tiga tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu dikenal pasti beroperasi secara haram, dan hanya memiliki kebenaran merancang untuk aktiviti pertanian organik.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada awal bulan ini berkata pemilik tanah terbabit dalam kejadian tanah runtuh itu akan dinyatakan dalam laporan lengkap.