
Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari berkata, ujian polis mendapati sampel darah yang diambil di tempat kejadian itu sepadan dengan DNA Nazrin.
“Pegawai forensik (Nizam Hussain) menegaskan corak percikan darah itu konsisten dengan kesan akibat daya tumpul, bukannya letupan mahupun tembakan (senjata api),” katanya.
Tambahnya, pegawai itu juga mendapati percikan darah itu sudah ada sebelum kebakaran berlaku pada hari itu.
“Ia (ditemukan) di sebalik jelaga daripada api (kebakaran),” katanya.
Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 48; dua remaja lelaki, yang kini berusia 17 dan 20 tahun; serta pembantu rumah warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih belum ditangkap, didakwa membunuh Nazrin di rumah mereka di Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.
Identiti dua remaja lelaki itu tidak boleh didedahkan kerana mereka bawah umur ketika kejadian.
Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah dan dua remaja itu tahun lepas, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan tuduhan membunuh, lalu membawa kepada rayuan ketika ini.
Sementara itu, seorang lagi timbalan pendakwa raya, Yusaini Amer Abdul Karim berkata, anjing daripada unit K9 polis pada mulanya tidak mengesan sebarang kesan petrol di tempat kejadian.
Bagaimanapun ini tidak boleh dianggap sebagai dapatan “konklusif” bahawa tiada petrol di tempat kejadian, katanya.
Tambah Yusaini, pegawai forensik bomba (Aznor Sheda Samsudin) kemudiannya menemukan kesan petrol di kepala Nazrin, di atas katilnya dan di dinding.
Perbicaraan diteruskan pada 23 Okt di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azhahari Kamal Ramli.