
Dr Irene Cheah daripada Persatuan Pediatrik Malaysia turut menggesa supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk menangani masalah ketagihan dadah dan arak, yang menurutnya menyumbang kepada penderaan kanak-kanak.
Bagaimanapun, katanya, tumpuan utama dalam usaha mengekang penderaan kanak-kanak adalah mendidik kanak-kanak dan masyarakat secara umumnya mengenai apa itu penderaan.
Ini supaya mereka menyedari bila tindakan disiplin fizikal menjadi penderaan, atau berlakunya sentuhan tidak wajar.
Mereka yang berurusan dengan kanak-kanak mesti belajar mengenal pasti tanda-tanda seperti lebam, lecur, bekas cubitan dan kecederaan lain yang mungkin menunjukkan penderaan fizikal berlaku.
Petunjuk lain termasuk perubahan dalam penampilan fizikal kanak-kanak, selain tingkah laku dan prestasi akademiknya.
“Kanak-kanak ini akan kurang keyakinan diri, selalu rasa malu atau bersalah, dan mungkin mempunyai hubungan kurang baik dengan rakan sebaya,” kata Cheah kepada FMT.
Katanya, sifat hiperaktif, keresahan, kemerosotan prestasi di sekolah dan gangguan makan juga mungkin menjadi simptom.
Ahli psikologi, Usha Ponnudurai berkata, kanak-kanak yang tampil sendiri mengadu didera sepatutnya dilayan dengan hormat, bukannya dilemparkan kenyataan bersifat menghukum seperti “Kamu tidak patut rasa seperti itu” atau “Mungkin kamu terlalu sensitif”, atau “ibu bapa cuma mahu mendisiplinkan kamu.”
Minggu lepas, pegawai polis kanan Siti Kamsiah Hassan berkata, ibu bapa bertanggungjawab untuk 1,505 daripada 3,264 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan sejak 2018.
Kes lain melibatkan pengasuh, pembantu rumah, guru, dan teman lelaki atau wanita ibu bapa kanak-kanak terlibat.
Usha berkata, guru perlu mengambil maklum jika kanak-kanak menangis berlebihan, semakin banyak tidak hadir ke sekolah, lebih suka menyendiri, sukar mengawal marah, malah turut menunjukkan minat melampau terhadap topik berunsur seksual.
“Mengenal pasti satu tanda seperti itu tidak semestinya bukti penderaan berlaku. Bagaimanapun, ini bererti lebih banyak maklumat diperlukan,” katanya.