
Ketua Polis Seremban, Arifai Tarawe, berkata suri rumah berusia 38 tahun itu membuat laporan kelmarin, mendakwa berlaku pemerasan selepas menerima panggilan telefon daripada sebuah syarikat penghantaran barang, disusuli kedatangan dua lelaki bermotosikal bertindak melarikan anak lelakinya berusia dua tahun.
Katanya, wanita itu mendakwa suspek memeras ugutnya supaya menggadaikan barang kemas di sebuah kedai pajak di Senawang.
“Hasil siasatan dan penelitian kamera litar tertutup di kawasan kejadian mendapati perkara tersebut (penculikan) tidak berlaku.
“Sebaliknya, pengadu dihubungi seorang perempuan disyaki ‘scammer’ dengan meminta pengadu menggadaikan barang kemas,” katanya dalam kenyataan.
Arifai berkata, wanita itu turut diminta “scammer” memasukkan wang tunai hasil gadaian ke dalam akaun diberikan.
“Namun, pengadu berjaya menghubungi suami bagi menyelamatkannya daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerasan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Faizal Mohd Zaini di talian 013 3613854 atau IPD Seremban 06 6033222,” katannya.