Konflik makin tegang resahkan rakyat Palestin di Malaysia

Konflik makin tegang resahkan rakyat Palestin di Malaysia

Mereka bimbangkan nasib ahli keluarga dan orang tersayang dalam pada serangan Israel masuk minggu kedua.

Lebih 3,000 orang Palestin dan Israel maut dalam pertempuran menjelang persediaan Israel untuk membuat serangan darat di Semenanjung Gaza. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Masyarakat Palestin yang berada di negara ini resah memikirkan nasib orang tersayang di Gaza, dalam pada konflik antara Israel dan Hamas masuk minggu kedua.

Ramai yang risau kerana tidak mengetahui di mana ahli keluarga mereka berada, namun tetap berharap mereka dalam keadaan selamat.

Sekatan bekalan elektrik, kemasukan makanan dan bahan api di Gaza menyebabkan penduduknya tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga di luar negara.

Wassim Alajrami, 26, pekerja kolar putih di Malaysia berkata, datuk dan neneknya terpaksa berpindah tiga kali selepas rumah mereka dibedil.

Wassim Alajrami kali terakhir dapat berhubung dengan datuk dan neneknya pada Jumaat.

“Kali terakhir saya menghubungi mereka pada Jumaat. Sukar untuk menjejak di mana mereka berada, atau mengetahui sama ada mereka sihat atau tidak, kerana menara komunikasi telah dimusnahkan,” katanya kepada FMT.

Pelajar, Ahmed Luai, 27, mengakui resah apabila menghabiskan sepanjang minggu menonton televisyen untuk mendapat berita terkini mengenai konflik berkenaan.

Keluarganya terpaksa mencari cara menghidupkan penghala di kediaman mereka untuk mendapat sambungan internet supaya Ahmed dapat terus maklum mengenai keadaan mereka.

“Keluarga saya menghadapi kesukaran, saya tidak dapat kerap berkomunikasi dengan mereka,” katanya.

“Mereka menggunakan bateri kereta untuk menghidupkan WiFi. Ia hanya dapat membekalkan tenaga selama kurang tiga hari, dan selepas itu mereka terpaksa mengecasnya lagi.

Seorang pelajar PhD berusia 46 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Tighreed berkata, seluruh keluarganya masih berada di Gaza dan kali terakhir beliau menghubungi mereka adalah dua hari lepas melalui abangnya.

“Beliau menghantar pesanan ringkas memaklumkan mereka okay (selepas serangan) namun malangnya, jiran mereka terkorban dalam runtuhan bangunan,” katanya.

Walaupun keadaan tidak tentu dan suram, masyarakat Palestin di negara ini bersyukur atas sokongan berterusan rakyat dan kerajaan Malaysia, malah terus mengharapkan pembentukan negara Palestin. Mereka turut mengakui rasa selamat di negara ini.

Israel mengisytiharkan perang terhadap Hamas susulan serangan mengejut kumpulan itu sehari selepas ulang tahun ke-50 Perang Yom Kippur 1973. Lebih 3,000 orang Palestin dan Israel maut sejak itu, dan Israel kini membuat persediaan untuk membuat serangan darat di Semenanjung Gaza.

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata, kedutaan berhubung dengan masyarakat Palestin di Malaysia dan berusaha meredakan kebimbangan mereka.

“Kami menyediakan masyarakat kami dengan apa saja diperlukan, memudahkan perjalanan keluar masuk Malaysia dengan menyediakan dokumentasi, menawarkan bantuan kewangan, dan melawat keluarga yang terkesan secara kerap,” katanya.

Walid berkata, warga Palestin menjadi mangsa hipokrasi antarabangsa, dan beliau menggesa pemimpin Malaysia, yang dilihat mampu mempengaruhi negara Asia lain, supaya menyokong perjuangan Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.