ISN tubuh Klinik Kesihatan Wanita pertama

ISN tubuh Klinik Kesihatan Wanita pertama

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata klinik itu diwujudkan susulan maklum balas diterima menerusi sesi 'townhall' bersama atlet wanita negara Ogos lalu.

Hannah Yeoh (dua dari kanan) melawat atlet sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Wanita di Institut Sukan Negara Bukit Jalil hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Institut Sukan Negara (ISN) mewujudkan Klinik Kesihatan Wanita pertama sebagai inisiatif menangani isu kesihatan atlet wanita di Pusat Perubatan Sukan Negara, ISN.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata klinik itu diwujudkan susulan maklum balas diterima menerusi sesi “townhall” dikendalikan bersama atlet wanita negara pada Ogos lepas.

“Ketika sesi ‘townhall’ itu, atlet wanita menyuarakan pendapat yang saya anggap penting untuk kita selesaikan.

“Ada antara mereka memberitahu mengalami kesakitan setiap bulan dan tiada doktor wanita atau pakar obstetrik dan ginekologi di sini yang boleh memberi nasihat kepada mereka, dan terpaksa beratur di hospital luar menunggu janji temu,” katanya selepas membuat lawatan ke klinik itu.

Beliau berkata masalah itu menyebabkan waktu latihan mereka terganggu, terpaksa menahan sakit serta tidak tahu di mana mendapatkan nasihat pakar.

“Kita tidak boleh mengharapkan jurulatih lelaki memberikan nasihat tentang perkara ini kerana mereka mungkin tidak mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai isu-isu kesihatan wanita.

“Ia juga menimbulkan perasaan malu dalam kalangan atlet untuk bertanya pendapat sehingga ada yang meminta nasihat rakan-rakan dan ahli keluarga, sekali gus mencetuskan masalah jika mereka mengambil ubat tanpa preskripsi dan mengakibatkan isu doping.”

Justeru, ISN melantik Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pelawat, Dr Jerilee Azhary, untuk mengendali serta seorang doktor wanita secara tetap, Dr Wan Nadiah Zainab Wan Azman, bagi memberi perkhidmatan perubatan kepada atlet wanita negara.

Antara perkhidmatan disediakan adalah khidmat perundingan dan konsultasi, pemeriksaan kesihatan wanita, rujukan luar dan sesi pendidikan kesihatan wanita.

Klinik yang dibuka sejak 4 Okt lalu itu beroperasi dari 9 pagi hingga 1 tengah hari setiap Rabu.

Sementara itu, Yeoh mengucapkan tahniah kepada pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, selepas muncul juara Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland, menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong 21-14, 21-15 pada aksi final Ahad lepas.

“Tahniah kepada Lee Zii Jia kerana mampu bangkit semula untuk menang gelaran setelah sekian lama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.