Fi lesen penerbangan tahunan melonjak mulai 2025

Fi lesen penerbangan tahunan melonjak mulai 2025

Langkah ini bertujuan menjadikan CAAM lebih bebas, memandangkan badan itu kini menerima sehingga RM350 juta setahun daripada Putrajaya.

CAAM akan mengenakan fi bagi pengendalian pesawat tanpa pemandu dan dron, termasuk yang digunakan untuk pengawasan dan rekreasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memberikan peringatan awal kepada pemain industri mengenai semakan semula beberapa caj sedia ada dan pengenalan fi baharu sebagai langkah mengurangkan kebergantungan badan itu pada kerajaan.

CAAM berkata, pihak berkuasa penerbangan itu kini bergantung kepada suntikan tahunan antara RM320 juta hingga RM350 juta daripada kerajaan untuk tadbir urusnya.

Menurut notis itu, kadar bagi tujuh fi akan dinaikkan, dengan kenaikan terbesar bagi pembaharuan sijil untuk aerodrom berbilang landasan, yang kini pada RM25,000.

Jumlahnya akan dinaikkan kepada RM300,000 pada 2025 bagi aerodrom dua landasan, kepada RM390,000 tiga tahun selepas itu, dan kemudian RM468,000 menjelang 2031.

Bagi aerodrom landasan tunggal, bayarannya ialah RM225,000 pada 2025, RM292,000 pada 2028 dan RM351,000 tiga tahun selepas itu.

Kebanyakan fi lain yang terkesan, seperti pembaharuan lesen pengendali udara, sijil kelayakan terbang, penyelenggaraan dan perkhidmatan pengendalian darat, akan menyaksikan peningkatan sebanyak 50% hingga 100% dalam tempoh enam tahun.

Dalam notis kepada semua organisasi berkaitan penerbangan baru-baru ini, ketua eksekutif CAAM Norazman Mahmud berkata, peningkatan fi ini akan dilakukan secara berperingkat mulai Januari 2025 bagi memberi masa yang cukup kepada pengendali untuk membuat persediaan.

Antara fi baharu termasuk 25 berkait operasi pesawat tanpa pemandu dan dron, serta caj keselamatan kargo dan aerodrom.

Syarikat penerbangan akan dikehendaki membayar dua sen setiap kg untuk keselamatan kargo mulai 2025 dan 25 sen bagi setiap penumpang untuk keselamatan aerodrom mulai 2028.

Pengenalan fi pelesenan dan kebenaran untuk mengendalikan pesawat tanpa pemandu dan dron akan termasuk yang digunakan untuk pengawasan, penyemburan, pemetaan, penggambaran dan penerbangan pesawat model rekreasi.

CAAM akan memperkenalkan fi untuk pembaharuan tahunan, operasi khusus dan penggunaan ruang udara terkawal dan tidak dikawal.

Pada masa ini, kebanyakan kategori pesawat tanpa pemandu dan dron hanya memerlukan kebenaran daripada CAAM setiap kali beroperasi, tanpa memerlukan lesen tahunan. Tidak jelas bagaimana ini akan memberi kesan kepada televisyen dan rangkaian berita dalam talian, juruvideo komersial dan jurugambar hobi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.