
SPA Perak dalam kenyataan di laman sesawangnya itu turut menjelaskan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan gangguan tidak berlarutan.
“Pejabat ini memahami keresahan yang dirasai ramai pihak berkenaan gangguan yang dialami oleh Laman FB rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak.
“Dimaklumkan bahawa pejabat ini telah mengambil tindakan sewajarnya sejak awal perkara tersebut berlaku dan kini berada bawah tindakan pihak berwajib,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, SPA Perak turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk orang awam yang prihatin terhadap masalah berlaku.
Semalam, SPA Perak dalam kenyataan memaklumkan laman Facebooknya digodam pihak tidak bertanggungjawab sekitar 12 tengah hari.
Semakan mendapati beberapa video lucah dimuat naik ke akaun Facebook itu sejak tengah hari semalam dengan kali terakhir kira-kira 9 malam tadi.