Editor buku diharam bebas reman

Editor buku diharam bebas reman

Polis berkata suspek dibebaskan selepas tempoh reman sehari ke atasnya tamat.

Penerbit Gerakbudaya memohon maaf atas reka bentuk buku itu, tetapi berkata ia tidak berniat menghina atau mempersendakan lambang negara. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Editor buku kontroversi “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”, Kean Wong, yang ditahan semalam dibebaskan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata suspek dibebaskan selepas tempoh reman sehari ke atasnya tamat.

“Suspek berumur 58 tahun, dan dipercayai menetap di Sydney, Australia. Dia ditahan di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, Selangor semasa memohon memperbaharui pasport pada 16 Okt (semalam).

“Suspek sudah dibebaskan pada 17 Okt (hari ini) setelah tamat tempoh reman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Semalam, media melaporkan editor terbabit ditahan di Pejabat Imigresen Kelana Jaya semasa memohon pembaharuan pasport.

Dia kemudian dilaporkan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Buku itu terpalit kontroversi kerana imej pada kulitnya yang mirip jata negara, dengan seorang kanak-kanak bogel di atas bulan dan bintang, bentuk dua harimau diubah suai dan seekor buaya di bawahnya.

Penerbit Gerakbudaya memohon maaf atas reka bentuk itu, tetapi berkata ia tidak berniat menghina atau mempersendakan lambang negara.

Buku itu mengandungi analisis politik dan laporan PRU14 pada 2018 yang menandakan berakhirnya penguasaan Barisan Nasional selama enam dekad.

Ia diharamkan pada Julai 2020 susulan aduan berhubung kulitnya, termasuk karikatur jata negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.