Budak ditemukan maut dalam mesin basuh disyaki terjatuh, kata polis

Budak ditemukan maut dalam mesin basuh disyaki terjatuh, kata polis

Kanak-kanak autisme berusia 6 tahun dipercayai memanjat mesin yang sedang beroperasi sebelum terjatuh ke dalamnya.

Punca kematian mangsa didapati kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul, kata Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di dalam mesin basuh semalam disyaki terjatuh ke dalam mesin tersebut yang sedang beroperasi.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata, dalam kejadian pada kira-kira 9.30 pagi itu, kanak-kanak yang menghidap autisme itu dipercayai memanjat mesin basuh berkenaan ketika semua orang di dalam rumah sedang tidur.

“Mesin basuh tersebut jenis muatan atas dan ketika kanak-kanak itu ditemukan, mesin sudah berhenti beroperasi.

“Kami percaya kanak-kanak itu memanjat mesin basuh dan terjatuh ke dalamnya,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 11.02 pagi.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul.

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Menurut Yahaya, jenazah kanak-kanak itu telah dikebumikan di Johor hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.