Syabu RM1.4 juta dirampas, pelajar sekolah antara 5 ditahan

Syabu RM1.4 juta dirampas, pelajar sekolah antara 5 ditahan

Semua suspek berumur 17 hingga 22 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Kuching dan Bintawa pada Khamis lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Azman Ahmad Sapri (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Sarawak, hari ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita, termasuk seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun susulan penemuan dadah syabu seberat 42.2 kilogram (kg) bernilai RM1.4 juta di sebuah hotel di bandar raya ini Khamis lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Azman Ahmad Sapri, berkata kelima-lima suspek berumur 17 hingga 22 tahun yang berasal dari Kuching itu ditahan dalam serbuan di sekitar sini dan Bintawa pada hari berkenaan.

Beliau berkata dadah yang diseludup masuk ke sini sebagai bungkusan teh cina itu dipercayai diperoleh daripada rakan mereka di Semenanjung Malaysia, dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Aruz dianggarkan bernilai RM50,000 daripada kumpulan itu.

“Dadah ini dibawa masuk dari Kuala Lumpur oleh dua suspek yang bertindak sebagai kurier menerusi penerbangan. Dadah ini adalah untuk pasaran di Kuching, Miri dan Bintulu,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak hari ini.

Menurutnya salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta satu rekod di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Azman berkata semua mereka direman hingga 20 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata rampasan berkenaan merupakan tangkapan terbesar bagi siri keempat Ops Tapis Khas yang berlangsung 10 hingga 12 Okt lepas.

Menurutnya sepanjang Ops Tapis Khas yang diadakan secara bersiri sejak Januari, polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 85.17 kg dengan jumlah tangkapan 1,332 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.