Polis tahan editor buku diharamkan

Polis tahan editor buku diharamkan

Kean Wong ditahan di pejabat imigresen Kelana Jaya semasa memohon pembaharuan pasport hari ini.

Imej pada kulit buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang dikatakan menghina jata negara. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Editor buku kontroversi berjudul “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” ditahan hari ini.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata Kean Wong kini ditahan di IPD Dang Wangi dan disiasat bawah Akta Hasutan.

“Dia ditahan di pejabat imigresen Kelana Jaya semasa memohon pembaharuan pasport hari ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, telefon bimbit Wong dirampas polis semasa siasatan.

Buku itu terpalit kontroversi kerana imej pada kulit buku itu yang mirip jata negara, dengan seorang kanak-kanak bogel di atas bulan dan bintang, bentuk dua ekor harimau diubah suai dan seekor buaya di bawahnya.

Penerbit Gerakbudaya memohon maaf atas reka bentuk itu, tetapi berkata ia tidak berniat menghina atau mempersendakan lambang negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata keterangan lapan penulis, artis grafik dan seoarng penasihat jualan buku terbabit sudah diambil.

Buku itu mengandungi analisis politik dan laporan PRU14 pada 2018 yang menandakan berakhirnya penguasaan Barisan Nasional selama enam dekad.

Buku itu diharamkan pada Julai 2020 susulan aduan berhubung kulitnya, termasuk karikatur jata negara.

Ketika itu, Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik siasatan itu dengan berkata, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang digunakan dalam siasatan, hanya melarang penggunaan jata rasmi tanpa kebenaran bertulis daripada menteri.

“Undang-undang tidak melarang sebarang persembahan seni diilham daripada jata negara, seperti digunakan pada kulit buku itu, yang tidak akan menyebabkan orang waras terkeliru dengan jata negara sebenar,” menurut kumpulan hak asasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.