
Minggu lalu, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata ia mencapai “keputusan yang sukar” untuk menggantung operasi serta-merta kerana tekanan kewangan yang ketara, sambil menambah ia juga tidak dapat memberi komitmen untuk sebarang jangka masa bagi menyambung semula operasi.
Pada sidang media hari ini Eksekutif Interim MyAirline, Azharuddin Rahman, berkata beliau memahami kekecewaan dialami penumpang syarikat penerbangan itu, yang kebanyakannya hanya mengetahui mengenai penggantungan apabila sudah berada di lapangan terbang.
“Keadaan ini timbul kerana kekurangan pelan kontingensi kami, ditambah lagi dengan pelabur yang menarik diri pada saat akhir.”
Azharuddin turut mengakui kesilapan pihaknya menyebabkan ramai penumpang menunggu di lapangan terbang pada hari operasinya digantung, Khamis lalu.
Katanya, mereka juga kecewa susulan penarikan diri pelabur berpotensi pada saat-saat akhir iaitu kira-kira 4.30 petang Rabu yang menyukarkannya meneruskan operasi.
Mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang mendakwa MYAirline sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi notis awal, Azharuddin mengakui kekurangan komunikasi dengan Mavcom dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Menyentuh mengenai pelabur berpotensi, Azharuddin berkata MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik dan telah menerima beberapa cadangan.
“Kebanyakan pelabur kini dalam rundingan akhir, jadi ia hanya menunggu masa. Sebaik sahaja kami menerima pembiayaan, proses bayaran balik akan dimulakan,” katanya sambil menambah beliau optimis isu itu akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Menurut Azharuddin, jumlah bayaran balik berjumlah RM22 juta membabitkan 135,000 penumpang selain gaji 900 pekerja yang tertunggak.
Beliau menggesa penumpang terjejas menghubunginya menerusi e-mel [email protected] atau talian hotline 03-8966 2522 untuk proses bayaran balik.