Jangan buat ‘live’ ketika bahas, Ahli Parlimen diberitahu

Jangan buat ‘live’ ketika bahas, Ahli Parlimen diberitahu

Speaker Dewan Rakyat berkata tindakan Ahli Parlimen menggunakan peranti tidak menghormati Perkara 35 (1) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan arahan itu boleh membawanya kepada Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk dinilai semula, kata Johari Abdul.
KUALA LUMPUR:
Semua Ahli Parlimen tidak lagi dibenar menggunakan peranti seperti telefon bimbit untuk membuat siaran langsung ketika berbahas.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata tindakan Ahli Parlimen yang menggunakan peranti tidak menghormati Perkara 35 (1) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menghendaki ucapan tersebut terarah kepada pengerusi.

“Ketika kamu bercakap kepada penonton, fokus kamu bukan lagi pada Dewan. Saya perhatikan, saya duduk atas saya nampak, kamu setengah jam duduk ‘adjust’ (peranti), jadi dia tidak terus berbincang masalah rakyat di Dewan tapi terus berkomunikasi dengan penonton. Tindakan ini teruk.

“Saya minta bila datang sini kena letak keutamaan untuk rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu ditentang Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang berkata tindakan Johari menggunakan Perkara 35 (1) sebagai tidak munasabah.

“Kita berada dalam zaman, era media yang bergerak ke hadapan. Saya rasa Parlimen harus bergerak ke arah itu, bukan ke belakang jadi penggunaan peranti patut digalakkan oleh speaker dan tidak menjadikan Perkara 35 (1) memandang speaker sebagai alasan untuk menghalang Ahli Parlimen mengguna peranti,” katanya.

Johari kemudian berkata, jika Ahli Parlimen tidak bersetuju, mereka boleh membawanya kepada Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk dinilai semula.

“Sebab peraturan bukan saya yang buat tapi kita semua yang buat melalui jawatankuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat sekiranya mahu menonton siaran langsung Parlimen, mereka boleh berbuat demikian menerusi saluran rasmi disediakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.