
Beliau membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Mahmud.
Khairil, 47, dituduh memalsukan dokumen tender daripada Tanjong Nova Sdn Bhd, Perantis Land Sdn Bhd, Bright Ability Sdn Bhd dan Winntrack Auto untuk pembekalan lapan kenderaan.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Khairil didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Miros di Kajang pada Julai 2017.
Awang Kerisnada kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga mengarahkan Khairil menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap bulan, dan hadir pada setiap perbicaraan.
Hakim juga mengarahkan Khairil tidak berhubung secara terus atau tidak terus dengan kakitangan di Miros kerana ada antara mereka akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Khairil juga dihalang daripada mengakses sistem komputer dan data Miros, serta dokumen untuk mengelak sebarang bukti diubah.
Tertuduh diwakili peguam Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry.
Mahkamah menetapkan 21 Nov ini untuk pengurusan kes.