
Pesuruhjaya Kehakiman Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Noryati Abu Bakar, 53, dan Haris Fadzilah Abu Bakar, 51.
“Saya berpendapat pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai pengetahuan kemasukan migran yang disenaraikan adalah tidak sah.
“Saya juga berpendapat prosedur pengeluaran migran tersebut mengikut tatacara dibenarkan pihak imigresen.
“Oleh demikian, saya berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh, sehubungan itu kedua-duanya dilepas dan dibebaskan tanpa perlu pembelaan dipanggil,” katanya menurut Harian Metro.
Noryati dan Haris bersama tiga lagi individu didakwa bersama menjalankan penyeludupan terhadap lapan migran di Lot 21, Jalan Feri, di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor Bahru kira-kira 12 tengah hari 15 Jun 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seramai 21 saksi dipanggil pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan sejak 2022.
Mahkamah turut memaklumkan tiga tertuduh lain dalam kes itu – buruh binaan, M Amir Nasir, ejen tiket feri, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan dan pengawal keselamatan di Terminal Feri Pasir Gudang, Razali Mohamad dihukum penjara dua hingga empat tahun tahun lalu, selepas mereka mengaku salah.