164 GRO, 2 ‘bouncer’ ditahan dalam serbuan pusat hiburan

164 GRO, 2 ‘bouncer’ ditahan dalam serbuan pusat hiburan

Polis berkata operasi itu adalah untuk mengenal pasti mangsa buruh paksa dan warga asing yang bekerja secara haram.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasaran Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 164 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam beberapa serbuan di pusat hiburan di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasaran Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata serbuan itu bertujuan mengenal pasti mangsa buruh paksa dan menghentikan kegiatan haram seperti menggaji wanita asing sebagai GRO.

Operasi di Kuala Lumpur yang dijalankan di Kompleks Wilayah itu menyasarkan empat pusat hiburan berlesen, menyebabkan 38 individu ditahan. Selain itu, 113 pelanggan dari pelbagai negara telah menjalani pemeriksaan.

“Premis itu beroperasi dari jam 7 malam hingga 7 pagi setiap hari. Mereka menggaji GRO sebagai penari pentas yang diberi tips oleh pelanggan. Hasil siasatan awal mendapati kedai ini beroperasi selama tiga hingga 12 bulan,” kata Rusdi pada sidang media hari ini.

Serbuan berasingan di Johor Bahru membawa kepada penahanan 99 individu termasuk 91 GRO warga asing. Selain itu, 69 pelanggan yang hadir di premis itu telah disoal siasat.

“Didapati tiada satu pun daripada GRO yang mempunyai permit kerja,” kata Rusdi.

Dalam serbuan berasingan di Serdang, 73 GRO warga asing berjaya ditahan bersama empat pekerja tambahan. Pihak berkuasa juga menyoal siasat 71 pelanggan.

“Pub terbuka dan pusat hiburan berkonsepkan KTV itu terletak di Kawasan Taman Perindustrian Puchong.

“Cawangan Narkotik Serdang menjalankan pemeriksaan air kencing secara rambang terhadap 18 individu. Hasilnya mendapati 15 individu positif ketamin. Turut ditahan ialah dua lelaki yang bekerja sebagai ‘bouncer’ disyaki terlibat dengan unsur berkaitan kongsi gelap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.