
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang ancaman diterima namun dalam masa sama menasihatkan rakyat supaya tidak khuatir.
“Polis menyatakan itu ancaman yang sengaja dibuat, cuma kita perlu berjaga-jaga dan tidak perlu khuatir pun,” katanya, selepas merasmikan pejabat Umno Tangga Batu selaku presiden parti itu.
Hadir sama Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ketua Umno Tangga Batu Rais Yasin.
Semalam, seorang lelaki warga asing disyaki membuat panggilan telefon mendakwa meletakkan bom di pusat beli belah The Mall Mid Valley Southkey dan St Giles Hotel Southkey dengan amaran supaya berhenti menyokong Palestin.
Zahid berkata kerajaan akan terus mengumpul derma bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan berlanjutan sejak sekian lama.