
Menterinya V Sivakumar berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan terkini kemelut syarikat penerbangan tambang murah itu bagi memastikan kebajikan pekerja diambil tindakan segera.
Menurutnya, pekerja yang terjejas dan diberhentikan akan menerima gantian pendapatan untuk tempoh tiga hingga enam bulan sementara mendapat kerjaya baharu.
“Manfaat Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) itu diberikan selepas semakan terhadap rekod caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mereka memenuhi syarat kelayakan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata KSM juga akan membantu pekerja yang terjejas menerusi peningkatan kemahiran (upskilling) mengikut keperluan individu.
“Malah, mereka akan dimaklumkan mengenai kekosongan jawatan dan penempatan pekerjaan baharu melalui portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs.
“Bantuan kepada pekerja yang terkesan juga turut merangkumi perkhidmatan sokongan pekerjaan secara individu dan kaunseling kerjaya oleh pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan pekerja MYAirline yang terjejas susulan penggantungan operasi, Khamis lalu berharap masalah tunggakan gaji dan caruman KWSP serta Perkeso dapat diselesaikan segera.
Bercakap kepada FMT, kakitangan enggan dinamakan itu mendakwa gaji September yang sepatutnya dibayar selewat-lewatnya pada 7 Okt masih gagal dibayar manakala caruman pula tidak dibuat sejak Mei walaupun pemotongan telah dibuat.