Kerajaan sasar 50% kawasan luar bandar diliputi 5G pertengahan 2024

Kerajaan sasar 50% kawasan luar bandar diliputi 5G pertengahan 2024

Kerajaan juga mengenal pasti kawasan Orang Asli untuk pemasangan peranti satelit Starlink.

Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 50% kawasan luar bandar dapat liputan 5G pada pertengahan tahun depan, dan 85% pada akhir 2024. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menyasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% kawasan luar bandar mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G pada pertengahan tahun depan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi berkata kerajaan juga akan memastikan tidak kurang daripada 85% kawasan luar bandar mendapat liputan 5G pada akhir 2024.

“Baki 15% itu mungkin kawasan pergunungan dan sebagainya yang agak sukar. Kita tahu di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, beliau amat progresif dari segi tasawwur, wawasan beliau.

“Kita lakukan koordinasi ini kerana merasakan rakyat di luar bandar juga berhak. Kita tidak mahu apabila mahu mencapai internet, mereka panjat pokok untuk dapatkan liputan. Jadi, ini harus kita elakkan, walaupun sukar tetapi kita boleh,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia di Radio Televisyen Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya bersama Kementerian Komunikasi dan Digital dan Jabatan Kemajuan Orang Asli mengenal pasti kawasan-kawasan Orang Asli untuk pemasangan peranti satelit Starlink, agar golongan tersebut juga tidak ketinggalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.