Kemajmukan bukan bala, DHPP ajar PAS tadbir negara majmuk, kata naib presiden

Kemajmukan bukan bala, DHPP ajar PAS tadbir negara majmuk, kata naib presiden

Kewujudan DHPP mengajar pimpinan PAS bagaimana nak urus parti yang akan mentadbir negara majmuk.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata Dewan Himpunan Pendukung PAS dalam organisasi parti itu merupakan suatu kelebihan.
PETALING JAYA:
Kepelbagaian bangsa dan agama dalam kalangan rakyat suatu kelebihan, dan bukannya menjadi bala kepada PAS, tegas Naib Presiden Idris Ahmad.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, kewujudan sayap bukan Islam, dikenali Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), banyak membantu parti itu menguruskan kemajmukan sebagai persediaan untuk mentadbir negara yang mempunyai masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Saya selalu sebut kepada orang PAS jangan anggap kewujudan masyarakat majmuk sebagai satu bala, tidak… kita anggap ini satu peluang. Satu daripadanya ialah kita boleh kenal sesama kita, bagaimana mengurus dari kalangan kita.

“Kewujudan DHPP beri pengajaran kepada pimpinan PAS bagaimana nak urus parti yang akan mentadbir dan menguruskan negara, negeri terdiri daripada pelbagai komponen dan etnik.

“Inilah kelebihan kewujudan DHPP dalam organisasi PAS. Ia beri pengajaran amat bermakna kepada kita,” katanya, ketika berucap merasmikan konvensyen DHPP ke-8 di Shah Alam, petang tadi.

Idris berkata sayap itu perlu memain peranan membawa suara PAS dan menentang rasa khuatir orang bukan Islam terhadap parti itu.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan lawan politik menggunakan sentimen “Gelombang Hijau” bagi menakutkan rakyat bukan Islam kepada PAS. “DHPP perlu sentiasa bergerak ke hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.