Jangan sewa bilik macam ‘liang lahad’, Nga beri amaran kepada pemilik premis

Jangan sewa bilik macam ‘liang lahad’, Nga beri amaran kepada pemilik premis

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengarahkan pemilik mengubah semula premis kepada bentuk asal.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pemilik yang mengubahsuai premis menjadi bilik-bilik kecil untuk disewakan adalah satu kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang menyewakan bilik sempit umpama ‘liang lahad’ sekiranya mereka tidak mengubahnya kembali kepada bentuk asal.

Menterinya Nga Kor Ming berkata sebagai permulaan pihaknya memberi amaran kepada pemilik premis yang melanggar peraturan dengan mengubah suai rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Keadaan premis sewa seumpama ini membahayakan nyawa penyewa , yang boleh mengundang kepada risiko kebakaran dan juga kesan kepada kesihatan mental

“Sekarang ini saya beri peluang dahulu kepada pemilik premis, sekiranya pihak berkenaan gagal mematuhi undang-undang, kita tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan tegas dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan pasar sementara Pasir Pinji.

Nga berkata pemilik premis berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan tingkat atas sebuah rumah kedai di Lembah Klang yang berkeluasan 21m x 6m diubah suai dengan menempatkan 38 bilik seperti kapsul, dan pintu gelangsar dijadikan sebagai dinding pemisah antara bilik.

Pemilik premis mengenakan kadar sewa dengan kadar bayaran bermula RM300 dengan keluasan sangat sempit selain mempunyai bau yang tidak menyenangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.