Ipoh ‘bandar raya kesihatan’ menjelang 2025

Ipoh ‘bandar raya kesihatan’ menjelang 2025

Pembinaan beberapa pusat kesihatan di sekitar Ipoh melibatkan pelaburan melebihi RM1 bilion pada fasa awal, kata datuk bandar.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menumpukan sektor kesihatan, kata Datuk Bandar Rumaizi Baharin. (Gambar fail)
IPOH:
Ipoh bakal menjadi ‘bandar raya kesihatan’ menjelang 2025 berikutan kerancakan pembinaan beberapa pusat perubatan ketika ini.

Datuk Bandar Rumaizi Baharin berkata antara lima pusat perubatan baharu ialah Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Perkeso di Bandar Meru Raya, Hospital Seri Botani, dan Pusat Perubatan Sunway.

“Kebanyakan prasarana sedang dalam pembinaan dan yang sudah siap dibina antaranya Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dan Hospital Seri Botani manakala hospital di Bandar Sunway, Tambun (Pusat Perubatan Sunway) yang dalam pembinaan dijangka siap tidak lama lagi.

“Quill Medical Centre di Jalan Sultan Nazrin Shah juga dalam pembinaan malah terdapat beberapa lagi pusat kesihatan dalam perancangan untuk dibina,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Barah Payudara dan Diabetes ‘Fight For Pink Act For Blue’ anjuran PCSH.

Rumaizi berkata pembinaan beberapa pusat kesihatan di sekitar bandar raya ini melibatkan pelaburan melebihi RM1 bilion pada fasa awal.

“Semua projek pembinaan ini dijangka siap pada hujung tahun hadapan dan kita (Ipoh) akan mempunyai tambahan kira-kira 1,000 kemudahan katil.

“Hal ini sekali gus mewujudkan lebih 8,000 peluang pekerjaan berkaitan sektor kesihatan seperti doktor, jururawat, ahli farmasi dan kakitangan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata selain pelancongan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menumpukan sektor kesihatan kerana pertambahan pusat perubatan berkenaan dapat membantu penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dengan mudah dan kos mampu milik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.