GPS tak perlu bantuan untuk pertahan Jepak, kata penganalisis

GPS tak perlu bantuan untuk pertahan Jepak, kata penganalisis

Penganalisis berkata penglibatan Umno dalam PRK Jepak akan menimbul keraguan dalam kalangan pengundi dan akan menyulitkan GPS.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah Sarawak dijangka tidak berdepan masalah untuk mempertahankan DUN Jepak dalam PRK bulan depan.
PETALING JAYA:
Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak memerlukan bantuan daripada rakan gabungan dalam kerajaan perpaduan di persekutuan bagi berdepan PRK DUN Jepak bulan depan, kata penganalisis.

James Chin dari University of Tasmania berkata GPS tidak akan mengalami masalah memenangi PRK Jepak secara bersendirian, susulan majoriti besar yang diperoleh Talib Zulpilip dalam PRN Sarawak 2021. Talib meninggal dunia pada bulan lalu.

Selain itu, beliau percaya bahawa ketiadaan rakan-rakan dari Semenanjung akan memberi manfaat kepada GPS dalam kempen pilihan raya.

“Bagi GPS, semakin kurang pergolakan di persekutuan dikaitkan dengan gabungan itu, semakin baik. GPS sangat jelas dalam pendiriannya: Sarawak diutamakan. Idea ini, mereka tidak memerlukan bantuan daripada Semenanjung,” kata Chin kepada FMT.

Ahli Majlis Profesor Jeniri Amir percaya bahawa GPS akan mempunyai peluang lebih besar untuk memenangi Jepak jika terdapat kurang pembabitan dari rakan sekutu, terutamanya Umno. Beliau berkata imej buruk Umno akan menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi jika parti itu membuat sebarang penampilan semasa tempoh kempen.

“Jika mereka dari luar ingin pergi (ke Jepak), kedatangan mereka mungkin kurang disambut penduduk tempatan. Lebih baik bagi Umno membenarkan GPS mengendalikan PRK ini sendiri, supaya tidak menyulitkan perkara di akar umbi,” kata Jeniri.

Pada hari Rabu, pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi berkata parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan bersedia untuk membantu GPS dalam PRK itu. Bagaimanapun, Zahid berkata GPS berada dalam kedudukan yang kuat untuk mengekalkan kerusi itu.

Pada PRN Sarawak 2021, Talib dari GPS dipilih untuk penggal keenam dengan majoriti 4,243 undi.

Bulan lalu, pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata parti itu bersedia untuk berdepan PRK itu, tetapi tidak mendedahkan siapa yang akan diangkat menjadi calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.