
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Azri Ahmad, berkata ia hasil siasatan awal dijalankan pihaknya terhadap pegawai terbabit.
“Polis sedang menjalankan siasatan ke atas seorang pegawai kanan polis yang memiliki gaya hidup mewah dengan memiliki dua utas jam tangan Rolex.
“JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Bukit Aman menyiasat bagaimana seorang pegawai polis boleh memiliki dua jam itu yang bernilai lebih RM400,000, seperti didedahkan dalam satu kes mahkamah baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita Mou Ei Leen, 41, didakwa mencuri jam tangan Rolex Sky-Dweller (Model 326135) dan Rolex GMT Master-II 9 (Model 116718 LN) daripada suaminya, seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.
Nama suaminya tidak disebutkan dalam laporan itu.
Mou didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan. Dia dibebaskan dengan jaminan RM3,000.
Peguamnya dilaporkan berkata, wanita itu dalam proses perceraian dan tinggal berasingan daripada suaminya sejak dua tahun lalu. Kecurian itu dilaporkan berlaku ketika mereka masih tinggal bersama.