NGO cadang wujud mekanisme pemantauan inisiatif Belanjawan 2024 PMKS

NGO cadang wujud mekanisme pemantauan inisiatif Belanjawan 2024 PMKS

Liga Muslim Malaysia dan Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang berkata badan bukan kerajaan dan usahawan perlu dilibatkan dalam jawatankuasa pemantauan itu.

Nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan tersedia untuk manfaat PMKS berjumlah hingga RM44 bilion tahun depan.
GEORGE TOWN:
Liga Muslim Malaysia mencadangkan mekanisme kawalan dan pemantauan diwujudkan bagi memantau inisiatif Belanjawan 2024 untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam memastikan usahawan serta peniaga kecil mendapat manfaat daripada kemudahan disediakan kerajaan.

Presiden Liga Muslim Malaysia dan Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang, Najmudeen Kader, berkata badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan juga perlu dilibatkan dalam jawatankuasa pemantauan tersebut.

“Kerajaan bukan sahaja bergantung kepada semakan pertengahan penggal, tetapi sediakan juga mekanisme kawalan dan pantauan supaya pembangunan ekonomi kekal mengikut trajektori perancangan belanjawan dan tidak berlaku sebarang ketirisan,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat semalam berkata tahun depan, nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan tersedia untuk manfaat PMKS berjumlah hingga RM44 bilion.

Najmudeen berkata, kemudahan itu dapat membantu khususnya masyarakat Muslim bumiputera mendapatkan dana supaya pembangunan ekonomi seimbang dapat dicapai dalam aliran ekonomi bersama masyarakat lain.

Sementara itu, pengusaha restoran nasi ayam di Kuala Terengganu, Muhammad Adam Zawawi, berkata kemudahan pinjaman usahawan PMKS membantu peniaga sepertinya mendapatkan dana untuk menampung modal pusingan perniagaan.

“Bagi peniaga makanan seperti saya, buat masa sekarang kemudahan pinjaman seperti itu dapat membantu dan menambah baik perniagaan kerana kita berdepan kenaikan kos bahan mentah dan lain-lain kos yang di luar kawalan,” katanya.

Usahawan batik Terengganu, Wan Farhana Wan Tazilah pula menzahirkan rasa syukur kerana kerajaan menyediakan kemudahan pinjaman sebanyak RM720 juta khusus untuk usahawan dan peniaga wanita.

Justeru, beliau berhasrat mendapatkan kemudahan pinjaman berkenaan bagi menambah lebih banyak stok kain dan baju batik yang kini mendapat permintaan tinggi khususnya daripada penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.