Jeffer Rosobin ganti Misbun ketua jurulatih remaja

Jeffer Rosobin ganti Misbun ketua jurulatih remaja

Jeffer Rosobin dipilih berdasarkan rekod prestasinya menggilap bakat pemain perseorangan wanita Indonesia terkemuka semasa, Gregoria Mariska Tunjung.

BAM percaya Jeffer Rosobin memiliki kualiti diperlukan untuk memberi tunjuk ajar dan bertindak dengan berkesan bersama Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky. (Gambar Facebook Badminton Indonesia)
KUALA LUMPUR:
Bekas pemain badminton Indonesia dan pemenang pingat emas Kejohanan Asia, Jeffer Rosobin dijadual menjalankan tugas selaku Ketua Jurulatih Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang baharu mulai bulan depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Norza Zakaria, berkata Rosobin dipilih untuk membimbing pemain remaja berdasarkan rekod prestasinya dalam menggilap bakat pemain perseorangan wanita Indonesia terkemuka semasa, Gregoria Mariska Tunjung selain pencapaian peribadinya selaku Juara Perseorangan Lelaki Kejohanan Asia pada 1996.

“Kami percaya Jeffer memiliki kualiti yang diperlukan untuk memberi tunjuk ajar dan bertindak dengan berkesan bersama Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky.

Buat masa sekarang kami sedang menanti kelulusan visanya dan kami jangka beliau akan menyertai kami pada 1 Nov ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM ketiga 2023.

Norza berkata, beliau menyenarai pendek beberapa calon untuk menggantikan Misbun Sidek dan mengemukakan senarai nama itu kepada Rexy untuk kelulusannya.

“Semua KPI (petunjuk prestasi utama) senior dan remaja di bawah Rexy, jadi tentu sekali dia harus memilih seorang yang berkelayakan. Mungkin Rexy sudah biasa dengan pencapaian prestasi Jeffer dan itu mungkin antara sebab beliau membuat keputusan tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Norza percaya Rosobin akan membawa peningkatan skuad perseorangan remaja wanita ke tahap yang lebih baik kerana jurulatih dari Indonesia itu membimbing Gregoria sehingga muncul juara perseorangan perempuan pada Kejohanan Remaja Dunia 2017 di Yogyakarta.

Sementara itu, Norza yang juga presiden Majlis Olimpik Malaysia berkata mereka akan mengkaji keperluan mengekalkan latihan skuad remaja bersama senior kerana langkah berkenaan membuahkan hasil selepas mereka membawa pulang tiga pingat gangsa pada Kejohanan Remaja Dunia di Spokane, Washington, Amerika Syarikat.

Dua beregu kebangsaan menamatkan kempen Kejohanan Remaja Dunia 2023 mereka dengan masing-masing memperoleh gangsa selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir di Spokane, baru-baru ini.

Beregu campuran Low Han Chen-Chan Wen Tse tewas 14-21, 14-21 kepada pemain pilihan utama kejohanan dari China Zhu Yi Jun-Huang Ke Xin.

Dalam acara beregu lelaki, Bryan Jeremy Goonting-Aaron Tai juga menerima nasib serupa apabila ditundukkan 18-21, 21-15,14-21 oleh gandingan Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng dari Taiwan dalam set penentuan.

Malaysia juga meraih gangsa dalam acara berpasukan campuran selepas kalah 0-3 kepada China dalam aksi separuh akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.