
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Nazirah Abdullah berkata jumlah itu memadai bagi membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian.
“KMUM merasakan penetapan kadar yuran pada kadar maksimum RM1,500 berpatutan, tetapi bagi universiti awam seharusnya berada di bawah RM1,000.
“Ini memandangkan universiti awam ini adalah satu universiti di mana mahasiswa perlu bersaing untuk memasukinya dan ini satu-satunya harapan pelajar dari latar belakang B40 untuk melanjutkan pengajian,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan yuran kemasukan ke universiti awam tidak boleh melebihi RM1,500.
Nazirah berkata semua universiti awam juga perlu mengkaji semula sekatan terhadap pelajar gagal membayar yuran sebelum mendaftar subjek, selaras kenyataan Anwar berhubung perkara itu.
“Satu arahan menyeluruh perlu dilakukan supaya tiada satu universiti yang akan mengambil kesempatan terhadap dasar ‘zero balance’ yang sememangnya memberi keburukan serta memudaratkan kewangan pelajar itu sendiri,” katanya.
Pendirian KMUM berhubung dasar ‘zero balance’ turut disokong Kumpulan Mahasiswa Progresif Universiti Malaya yang menyifatkan mekanisme itu hanya bertujuan mengaut keuntungan tetapi membebankan mahasiswa.
Menurutnya, bayaran yuran pada permulaan pendaftaran setiap semester perlu dipinda dan wajar ditukar pembayaran yuran sebelum peperiksaan akhir diambil.