
Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim berkata seorang lelaki 25 tahun membuat laporan pada 7.43 malam memaklumkan terdengar empat das tembakan ketika memancing dekat sebuah kilang pasir di Batu 9, Kampung Golai, Pantai.
Susulan itu, katanya, seorang lelaki 40 tahun ditahan pada 9.15 malam dan selaras senapang patah milik saudara suspek bersama sembilan peluru dan lima kelongsong dirampas.
“Pengadu mendapati tiga ekor anjing dipercayai ditembak lelaki berkenaan menggunakan senapang patah, dengan dua daripadanya mati, manakala seekor cedera dan lari dari kawasan tersebut,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, lelaki itu bertindak demikian kerana anjing terbabit cuba menggigit anaknya dan haiwan peliharaan.
Katanya, lelaki tiada rekod jenayah itu direman hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.”