Polis pantau pergerakan rakyat Malaysia ke Gaza

Polis pantau pergerakan rakyat Malaysia ke Gaza

Langkah diambil untuk memastikan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam sebarang pergerakan ke kawasan konflik sehingga menimbulkan risiko keselamatan diri, kata KPN.

KPN Razarudin Hussain meminta rakyat menggunakan saluran dan medium yang aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti bersama warga Palestin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memantau rapi dan menggerakkan elemen berkaitan, khususnya Cawangan Khas, bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam sebarang pergerakan ke kawasan konflik di Gaza sehingga menimbulkan risiko keselamatan diri.

Ketua Polis Negara Razarudin Hussain meminta supaya semua rakyat Malaysia menggunakan saluran dan medium yang aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti bersama warga Palestin.

“Saya nasihatkan semua warga Malaysia tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.

“Iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia merupakan solidariti terbaik kepada warga Palestin yang ditindas,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Razarudin turut menyeru orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan agar menyemak kesahihan wakil-wakil yang menguruskan sumbangan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat perlu berwaspada tinggi untuk mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan.

“Polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,537 orang, termasuk 447 kanak-kanak, terbunuh di Gaza akibat serangan balas Israel, manakala lebih 6,000 cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.