PN percaya Ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut, kata Hamzah

PN percaya Ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut, kata Hamzah

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin turut mendakwa hujah Iskandar Khalid semalam 'amat berbeda' dengan penjelasan kepada pemimpin parti.

Biro Politik Bersatu akan memanggil Iskandar Khalid (kanan) untuk mendapatkan penjelasan, susulan sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) percaya Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut, susulan wakil rakyat Bersatu itu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Hamzah Zainudin mendakwa Iskandar didatangi seorang ahli perniagaan pada 26 Sept yang menjanjikan habuan wang dan kedudukan dalam beberapa syarikat serta mendesak beliau menyokong perdana menteri; dan pada 1 Okt, dia bertemu seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan “diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah” sekiranya enggan tandatangan kenyataan sokong kerajaan.

Beliau tidak menamakan ahli perniagaaan dan pegawai tinggi berkenaan dalam kenyataannya.

“Adalah dipercayai bahawa intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas Ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan kembali memperoleh sokongan 2/3 majoriti di Parlimen,” katanya.

Hamzah berkata Iskandar dalam pertemuan dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin “kelihatan amat tertekan akibat intimidasi” tetapi hujahnya semalam “amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti”.

“Perikatan Nasional mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam, Iskandar menerusi kenyataan, berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Sambil menegaskan tidak akan mengkhianati Bersatu, Iskandar berkata dia tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terus terbiar dan ketinggalan semata-mata perbalahan naratif politik biarpun berdepan risiko tindakan disiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.