
Membentangkan Belanjawan 2024, beliau yang juga menteri kewangan berkata projek LRT itu menghubungkan pulau dengan Seberai Perai.
“Anggaran awal LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai seperti dirancang kerajaan negeri berjumlah RM10 bilion menurut kaedah kerjasama awam-swasta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Januari lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri sedang menunggu untuk membincangkan cadangan hubungan LRT George Town-Butterworth dengan Anwar dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Beliau dipetik Buletin Mutiara milik kerajaan negeri berkata, cadangan projek itu adalah lanjutan kepada projek LRT Pulau Pinang dan menghubungkan laluan KTMB dari Butterworth ke Bayan Lepas.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
“Pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion,” kata Anwar.