Bos Mydin sokong apung harga ayam, telur

Bos Mydin sokong apung harga ayam, telur

Ameer Ali Mydin berkata harga telur gred A akan naik sekurang-kurangnya 10 sen sebiji.

Ameer Ali Mydin berkata penarikan kawalan harga akan menjejaskan harga telur yang berdepan kekurangan bekalan.
PETALING JAYA:
Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin menyokong idea mengapungkan harga ayam dan telur di pasaran tempatan untuk menjamin bekalan.

Katanya, kerajaan mengambil kira pandangan industri, di mana bekalan dianggap lebih penting daripada harga.

“Ini masa tepat menghapuskan subsidi kerana harga ayam jauh di bawah harga kawalan RM9.40. Harga semasa kira-kira RM8.50,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penarikan kawalan harga dijangka membawa kesan kecil ke atas harga ayam, tetapi boleh menyebabkan kenaikan ketara bagi harga telur akibat kekurangan berterusan dalam industri.

“Kami tidak menjangka harga naik terlalu tinggi untuk ayam serta-merta jika kawalan harga ditarik balik, tetapi tentunya kekurangan telur sentiasa berlaku. Jika harga siling ditarik balik, kami jangka harga telur saiz A, yang kini 45 sen, naik sekurang-kurangnya 10 sen.”

Ameer berkata, kerajaan mengekalkan pilihan untuk mengembalikan kawalan harga jika tiada keadaan tidak jangka yang boleh membawa kepada ketidakstabilan.

Beliau menyifatkan kini masa tepat untuk menarik balik kawalan harga “kerana harga rendah ketika ini, khasnya bagi ayam”.

Jeffrey Ng, penasihat Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, menyifatkan ia langkah positif yang dijangkakan kerana perbincangan mengenai perkara ini berterusan untuk tempoh agak lama.

“Kami lebih suka harga diapungkan dan kerajaan perlu mengelak daripada campur tangan,” katanya yang menyifatkan penetapan harga terlalu rendah tidak adil buat penternak.

“Kami berharap selepas harga siling ditarik balik, harga akan diselaras secara semula jadi dan pengguna perlu menyesuaikan diri dengan harga baharu bagi ayam dan telur.”

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kawalan harga sementara bagi ayam dan telur akan ditarik balik bagi memastikan bekalan mencukupi. Butiran mengenainya akan diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.