Siasatan terhadap ‘Dato’ Malik’ masih berjalan, kata ketua SPRM

Siasatan terhadap ‘Dato’ Malik’ masih berjalan, kata ketua SPRM

Siasatan sedang dijalankan oleh pasukan petugas dianggotai pelbagai agensi kerajaan, menurut Azam Baki.

Abdul Malik Dasthigeer, atau ‘Dato Malik’, ditahan oleh SPRM bawah Amla pada Julai. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Siasatan terhadap Abdul Malik Dasthigeer, atau “Dato Malik”, sedang berjalan, kata ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, siasatan sedang dijalankan oleh pasukan petugas yang dianggotai pelbagai agensi kerajaan.

“Pasukan petugas dianggotai pelbagai agensi kerajaan seperti SPRM, LHDN dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas sebuah acara.

Malik ditahan oleh SPRM bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) pada Julai.

Katanya, dia akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan.

Malik, pengasas dan pengerusi Malik Group of Companies, dikenali kerana membawa artis dari India untuk mengadakan konsert Tamil di Malaysia.

Kumpulan syarikatnya termasuk Malik Streams Corporation Sdn Bhd; Malik Maju Sdn Bhd; Malik Streams Properties Sdn Bhd; Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd; dan Malik Streams Production & Distribution.

Azam juga berkata, SPRM tidak berhasrat memanggil bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng buat masa ini.

“Saya serahkan pada polis dulu. Buat masa ini, tiada keperluan untuk panggil (Ng).

“Siasatan polis kena diutamakan,” katanya.

Ng dihantar pulang dari AS untuk membantu pihak berkuasa dalam siasatan 1MDB yang sedang dijalankan. Dia dilaporkan tiba kira-kira tengah malam Ahad.

Berhubung serbuan ke atas firma guaman Rosli Dahlan Saravana, Azam berkata, pihaknya memerlukan kelulusan Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan beberapa lagi dokumen melibatkan anak guam firma itu.

Katanya, kelulusan mahkamah diperlukan kerana dokumen itu dilindungi oleh keistimewaan klien-peguam.

Susulan serbuan ke atas firma guaman itu Khamis lepas, SPRM turut cuba mendapatkan dokumen daripada sebuah firma lain, Chetan Jethwani & Co.

Bagaimanapun, firma itu berjaya menghalang usaha SPRM, yang turut dilaksanakan bersama pegawai LHDN, dan telah menghantar surat bantahan kepada Azam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.