Rasional subsidi menerusi liberalisasi pasaran, PM diberitahu

Rasional subsidi menerusi liberalisasi pasaran, PM diberitahu

Carmelo Ferlito berkata, membuka pasaran secara beransur-ansur boleh menurunkan harga barangan dan perkhidmatan.

Carmelo Ferlito berkata, monopoli dalam pengangkutan awam dan perkhidmatan utiliti seperti elektrik mesti dihapuskan.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi mencadangkan agar kerajaan mengurangkan campur tangan dalam pasaran dan mengutamakan liberalisasi untuk mencapai reformasi subsidi yang komprehensif dan berjangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, strategi sebenar untuk membantu golongan miskin harus tertumpu pada liberalisasi.

“Kerajaan harus beransur-ansur bergerak ke arah harga pasaran (untuk semua), disertai dengan strategi yang jelas dan boleh dilaksanakan untuk menghapuskan monopoli.

“Perkhidmatan pengangkutan awam dan utiliti seperti elektrik pada masa ini beroperasi bawah rejim monopoli dan harus dibuka kepada persaingan.

“Ini akan memberi manfaat kepada pengguna, menyediakan perkhidmatan yang lebih baik pada harga lebih rendah,” kata Ferlito kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Selasa lepas untuk merasionalkan subsidi. Minggu lepas, Anwar berkata, kos subsidi untuk tahun ini, termasuk bagi makanan, bahan api dan elektrik, dijangka lebih RM81 bilion.

Ferlito berkata, liberalisasi pasaran akan mewujudkan pelbagai sumber bekalan untuk perkhidmatan, meningkatkan persaingan dan merendahkan harga pasaran.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa liberalisasi tidak boleh dikelirukan dengan penswastaan.

“Memindahkan pemilikan syarikat atau perkhidmatan milik kerajaan kepada entiti swasta mungkin tidak membawa pengurangan ketara dalam harga pasaran untuk pengguna.

“Hanya menerusi pembukaan pasaran dan meningkatkan persaingan serta kebolehcapaian barulah kita boleh secara beransur-ansur mencapai penyediaan barangan dan perkhidmatan pada harga lebih rendah,” katanya.

Ferlito juga berkata, proses liberalisasi akan mengambil masa, justeru penyelesaian sementara diperlukan.

“Kerajaan sepatutnya menawarkan barangan dan perkhidmatan ini pada harga pasaran dan menyediakan bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah melalui baucar berdasarkan tahap pendapatan masing-masing.

“Isi rumah berpendapatan rendah akan menerima baucar yang boleh mereka gunakan untuk memperoleh produk dan perkhidmatan yang diperlukan.

“Sebagai alternatif, mereka boleh memilih untuk menjual baucar itu jika tidak mahu menggunakannya,” katanya.

Penganalisis penyelidikan Bait Al-Amanah Yugendran Sivakumaran berkata, kerajaan tidak seharusnya menumpukan pada merasionalkan lebih banyak subsidi, sebaliknya penguatkuasaan berkesan pelbagai dasar sedia ada untuk kebanyakan subsidi.

“Kebimbangan utama yang mesti ditangani kerajaan adalah memastikan peraturan dipatuhi dengan ketat,” katanya.

“Ini bukan sahaja terpakai bagi petrol dan elektrik tetapi juga pelbagai sektor lain. Jika penguatkuasaan sewajarnya tidak dilaksanakan, keberkesanan langkah-langkah ini menjadi tidak relevan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.