Rakyat tiada pilihan harus tambah pendapatan, kata pakar ekonomi

Rakyat tiada pilihan harus tambah pendapatan, kata pakar ekonomi

Pakar Ekonomi Madeline Berma berkata kerajaan harus membantu sedia peluang rakyat tambah pendapatan.

Kenaikan harga barang dan sara hidup juga berpunca akibat faktor di luar negara.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi berkata rakyat tidak boleh mengharapkan ‘keajaiban’ harga barang akan turun dan skim gaji bertambah baik dalam masa terdekat ketika suasana mencabar.

Menurut Madeline Berma, rakyat perlu sedia keluar dari zon selesa untuk mencari pendapatan tambahan bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Namun jelasnya, kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat termasuk untuk meraih pendapatan sampingan.

“Ini bukan masanya untuk tunggu dan lihat sahaja, kena usahakan untuk tambah pendapatan sebab gaji terlalu rendah, kerajaan pula kena bantu sediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Proses ini kena dua hala, rakyat dan kerajaan memainkan peranannya secara berkesan,” katanya kepada FMT.

Madeline berkata kenaikan kos sara hidup ini mungkin tidak menjadi ‘kudis’ buat golongan T20, namun cukup membebankan M40 dan B40.

“Golongan ini sangat terkesan dan mereka perlu mula buat penggantian. Maksudnya, kalau sebelum ini makan roti mahal lepas ini kena tukar roti lebih murah.

“Tapi cakap mudah, nak buat itu susah sebab M40 dan B40 sudah lama makan atau pakai barangan murah. Contohnya, mereka sudah lama makan beras hancur,” katanya.

Beberapa ahli ekonomi sebelum ini mengaitkan faktor ekonomi global menjadi punca kenaikan kos sara hidup antaranya perang Ukraine-Rusia selain pertukaran mata wang asing.

Isu kenaikan kos sara hidup antara menjadi perhatian ramai pada pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.