Putrajaya mungkin perlu belanja lebih untuk subsidi bahan bakar

Putrajaya mungkin perlu belanja lebih untuk subsidi bahan bakar

Menurut pakar ekonomi, ketegangan geopolitik dan lebih banyak kenderaan peribadi akan menyebabkan harga dan penggunaan bahan bakar meningkat.

Pakar berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan mengurangkan subsidi walaupun telah memberi komitmen menyediakan bahan bakar murah kepada rakyat.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan subsidi bahan bakar kerana harga minyak mungkin naik dalam masa beberapa bulan akan datang, kata seorang pakar ekonomi.

Nazari Ismail daripada Universiti Malaya berkata, ketegangan geopolitik sedunia mungkin melonjakkan harga minyak.

“Harga minyak berkemungkinan naik akibat serangan berterusan Israel terhadap Palestin. Konflik berterusan Ukraine-Rusia juga menjadi faktor lain,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, penggunaan bahan bakar turut meningkat akibat jumlah kenderaan yang semakin bertambah di jalan raya. Katanya, ini juga menjadi faktor yang memaksa kerajaan berbelanja lebih ke arah subsidi.

Nazari mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang menyatakan bahawa kerajaan membelanjakan 322% lebih untuk subsidi pada 2022 berbanding tahun sebelumnya, dengan sejumlah besar bagi produk petroleum.

Menurut laporan itu, kerajaan membelanjakan RM13.1 bilion untuk subsidi pada 2021, yang melonjak kepada RM55.4 bilion tahun lepas.

Sebahagian besar subsidi – RM45.2 bilion, atau 81.5% – dibelanjakan untuk produk petroleum, menurut laporan yang dikeluarkan awal minggu ini.

Nazari berkata, harga minyak tinggi pada 2022 memaksa negara meningkatkan perbelanjaan terhadap subsidi petroleum memandangkan begitu ramai orang menggunakan bahan bakar setiap hari.

Katanya, kerajaan mengekalkan subsidi kerana bimbang rakyat, yang sudah terbiasa dengan harga bahan bakar murah, akan menolak sebarang kenaikan.

Bagaimanapun, Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia tidak menjangka harga bahan bakar naik, malah berkata harganya lebih rendah sekarang berbanding tahun lepas.

Sebaliknya, katanya, kerajaan sepatutnya berhenti memberi subsidi yang besar, melihat langkah menaikkan cukai untuk berbelanja ke arah subsidi akan memudaratkan ekonomi negara.

“Perbelanjaan keseluruhan tidak patut dinaikkan dalam Belanjawan 2024, dan fokus mesti diberi terhadap mengurangkan subsidi, pembaziran, ketirisan dan rasuah,” katanya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, harga tenaga khususnya minyak mentah adalah tinggi. Akibatnya, perbelanjaan subsidi dijangka lebih tinggi pada masa akan datang jika tindakan tidak diambil untuk menangani isu terbabit.

Rafizi berkata, kos subsidi tinggi itu sebahagiannya disebabkan ketirisan ketara dalam sistem, terutama dalam kes diesel yang dieksploitasi segelintir individu dan industri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.