
Dalam arahan keselamatan dikeluarkan minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Norazman Mahmud, meminta mereka memeriksa enjin pesawat dan rekod inventori untuk mana-mana bahagian diperoleh sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada pembekal British AOG Technics Ltd.
“CAAM dimaklumkan melalui pelaporan mandatori kejadian (MOR) mengenai kes melibatkan pengedaran bahagian disyaki tidak diluluskan oleh AOG Technics, sebuah organisasi berpangkalan di London.
“Beberapa bahagian enjin yang dipasang pada enjin CFM56 didapati dibekalkan dengan dokumen pensijilan kelayakan udara yang dipalsukan,” kata Norazman dalam amaran keselamatan yang dilihat FMT.
Beliau tidak memberikan bilangan alat ganti palsu ditemui atau nama syarikat penerbangan terbabit. Bagaimanapun, semakan pada Pemberitahuan Bahagian Tidak Diluluskan CAAM menunjukkan hanya satu laporan disenaraikan setakat ini.
Norazman berkata, CAAM memandang serius isu terbabit dan akan bekerjasama rapat dengan industri penerbangan serta mengambil tindakan apabila maklumat baharu tersedia.
Bulan lalu, Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah berkata ia menerima laporan menunjukkan beberapa bahagian enjin CFM56 yang diedarkan oleh AOG Technics dibekalkan dengan sijil ketulenan yang dipalsukan.
Malaysia Airlines memberitahu FMT dalam maklum balasnya bahawa ia tidak terjejas oleh bekalan bahagian enjin pesawat palsu.
CAAM meminta pemilik dan pengendali pesawat untuk menghubungi organisasi diluluskan yang dikenal pasti pada dokumen pelepasan pensijilan untuk mengesahkan asal dokumen jika bahagian tidak dibenarkan ditemui.
“Jika organisasi diluluskan mengesahkan bahawa dokumen itu bukan berasal daripada mereka, maka semua bahagian terjejas yang dipasang atau ditemui dalam inventori sedia ada harus dialih keluar dan dikuarantin untuk mengelakkan pemasangan.
“Jika bahagian itu telah dipasang, ia harus diganti dengan bahagian yang diluluskan,” kata Norazman, sambil menambah semua penemuan bahagian yang dipalsukan mesti dilaporkan kepada CAAM melalui sistem pelaporan MOR mereka.