
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ketika ini kadar pembiayaan ditetapkan sebanyak 100% bagi kumpulan M40 kategori M1 dan 75% bagi kategori M2 hingga M4.
“Ia ada beberapa kategori, hanya M1 dinaikkan kepada 100%”. Kita minta semua kategori dalam kumpulan M40 dinaikkan,” kata ketua Pemuda Perikatan Nasional kepada FMT.
Terdahulu, beliau menerima memorandum daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) untuk disampaikan dalam Belanjawan 2024.
Selain itu, Fadhli menggesa kerajaan memberikan tawaran diskaun 17% hingga 12% bagi bayaran balik pinjaman dengan kaedah bayaran penuh, separuh atau melalui potongan gaji.
“Sekiranya mereka baru bergraduasi dan memilih untuk membayar balik, Gamis melalui memorandum minta diskaun bayaran balik melalui pelbagai kaedah potongan gaji,” katanya.
Sementara itu, kerajaan turut digesa meningkatkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,600 selain tawaran peluang pekerjaan lebih meluas di sektor kerajaan dan swasta bagi meminimumkan kadar pengangguran.
“Saya kira masih lagi kenaikan sederhana (RM1,500) jika dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup hari ini,” katanya.