Kerajaan semak keperluan undang-undang kawal selia kutipan derma NGO

Kerajaan semak keperluan undang-undang kawal selia kutipan derma NGO

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali berkata ketika ini tiada lagi undang-undang khusus mengawal selia kutipan dana NGO.

Armizan Ali berkata kerajaan sedang meneliti kawal selia tentang tadbir urus, kebenaran dan permohonan berkaitan kutipan derma bencana. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang menyemak keperluan merangka undang-undang untuk mengawal selia kutipan derma yang dibuat oleh NGO bagi sebarang bencana dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali menjelaskan ada keperluan untuk mewujudkan mekanisme pemantauan itu berikutan ketika ini tiada lagi undang-undang khusus untuk mengawal selia kutipan dana dibuat oleh mana-mana NGO.

“Mengambil kira pengalaman lepas khususnya ketika Covid-19, banyak kutipan dibuat oleh pelbagai pihak.

“Kawal selia tentang tadbir urus, kebenaran dan permohonan sebagainya berkaitan kutipan bencana selain kerajaan juga merupakan perkara sedang diteliti kerajaan,” kata Armizan (GRS-Papar), menjawab soalan tambahan Shahidan Kassim (PN-Arau) di Dewan Rakyat.

Shahidan sebelum itu membangkitkan persoalan sama ada kerajaan akan menetapkan mekanisme pengurusan kutipan derma kepada NGO yang mengutip dana, memandangkan terdapat NGO yang mengenakan caj sehingga 12% daripada jumlah kutipan derma.

“Pada 2020, NGO Palestin Malaysia maklumkan pihaknya tidak terima sumbangan sepenuhnya dan selepas saya jumpa satu NGO ini, mereka kata mereka simpan 12% (daripada kutipan dana) untuk kos operasi, bakinya baru disalurkan untuk sumbangan,” dedah Shahidan.

Armizan berkata semakan terhadap keperluan undang-undang itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang mahu pengurusan bencana disemak semula.

“Semenangnya ini perkara yang sedang diteliti dalam rangka kita mengkaji mekanisme pengurusan dan kerangka perundangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.