Dadah disangka serbuk disinfektan, lelaki bebas tuduhan edar 112kg dadah

Dadah disangka serbuk disinfektan, lelaki bebas tuduhan edar 112kg dadah

Saik Siew Chye bebas selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Mahkamah membebaskan bekas ahli perniagaan Saik Siew Chye selepas pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membebaskan seorang bekas ahli perniagaan produk kosmetik dalam talian daripada dua tuduhan mengedar 112kg dadah di pintu masuk sebuah tempat letak kereta, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bache ketika membebaskan Saik Siew Chye berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

“Saya tidak lagi mahu melihat kamu di mahkamah ini atau mahkamah lain. Kamu begitu bernasib baik kerana terselamat dalam keadaan nyaris sebegini.

“Ini kerana undang-undang mengatakan seorang tertuduh tidak boleh disabitkan apabila ada kepincangan dalam kes pendakwaan,” katanya.

Saik, 52, didakwa mengedar hampir 78kg ketamine, 33kg heroin, dan 1kg 6-monoacetylmorphine. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Capsquare Residences, Dang Wangi di sini, pada 15 Januari 2021 iaitu ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Pasukan polis yang menyerbu kereta Saik menemui dadah berkenaan dibungkus dan disimpan dalam kotak pendinginan yang diletakkan atas tempat duduk belakang.

Ahmad berkata, beliau percaya dakwaan tertuduh bahawa kereta itu disewa individu bernama “Alex” yang memintanya menyimpan kenderaan berkenaan untuk sementara waktu. Ini kerana Alex dikatakan mahu memohon permit perjalanan daripada polis untuk perjalanan luar kawasan.

Beliau turut percaya penjelasan Saik bahawa Alex mamaklumkannya kotak itu mengandungi serbuk disinfektan yang mahu dihantar ke Sungai Petani.

“Alex bukan watak rekaan,” kata Ahmad.

Beliau berkata, Alex yang menyewa kereta itu kerana pemilik syarikat sewa kereta yang juga menjadi saksi pendakwa langsung tidak mengambil salinan dokumen peribadi Saik atau mengambil deposit daripadanya ketika lelaki itu datang mengambil kenderaan berkenaan.

Ahmad berkata, bukti menunjukkan Alex menghubungi pemilik syarikat itu untuk memaklumkan bahawa Saik mahu menyewa kereta berkenaan.

Pada awalnya, enam orang termasuk Saik didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah, namun hanya kes terhadap Saik diteruskan.

“Lima yang lain tidak dibawa ke mahkamah atau ditawarkan sebagai saksi pembelaan,” kata Ahmad.

Saik diwakili peguam bela Hisyam Teh Poh Teik, Kee Woi Lon dan Low Wei Loke, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Isa Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.