Tiada salah guna data pelanggan bawah skim insurans Selangor, kata PM

Tiada salah guna data pelanggan bawah skim insurans Selangor, kata PM

Anwar Ibrahim berkata, pengguna memberikan data peribadi mereka, dengan persetujuan melalui aplikasi Wavpay bagi pendaftaran bawah skim Insan.

Anwar Ibrahim berkata pengguna bersetuju menggunakan data mereka bagi perlindungan insurans bawah Insan dengan memberikan maklumat ketika memohon. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Skim insurans percuma Selangor, Insan, tidak menyalahgunakan maklumat peribadi pelanggan seperti ditetapkan bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata Bank Negara berpendapat pengguna dengan rela memberikan data peribadi mereka melalui aplikasi Wavpay.

Menurutnya, individu berminat dengan skim insurans itu perlu menyemak kelayakan mereka di laman sesawang Insan, mendaftar di aplikasi Wavpay, memuat naik gambar sendiri bersama kad pengenalan untuk pengesahan serta bersetuju dengan terma dan syarat.

“Dengan melengkapkan proses di atas, individu tersebut memberi kelulusan penggunaan data mereka bagi tujuan mendapatkan perlindungan insurans/takaful di bawah skim Insan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Anwar menjawab soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut) bila dan apakah tindakan akan diambil terhadap pihak terbabit dalam “skandal” Insan.

Terdahulu, ketua pembangkang itu mempersoalkan sikap Anwar mendiamkan diri berhubung “skandal” itu selepas beberapa individu mengadu didaftarkan secara automatik untuk Insan tanpa kebenaran mereka.

Insan adalah inisiatif kerajaan Selangor menyediakan perlindungan insurans kemalangan peribadi secara percuma kepada rakyat negeri itu berumur 30 hari hingga 80 tahun.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi sedang meneliti aduan penyalahgunaan data peribadi bagi skim itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, kerajaan negeri mendaftarkan penduduk Selangor untuk skim itu dengan data diperoleh daripada daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya.

Katanya, polisi insurans itu hanya akan ditaja jamin selepas individu terbabit bersetuju dan memuat naik gambar swafoto serta kad pengenalan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.